Wednesday, May 28, 2008

Laporan Perkhemahan di Lubuk Semilang



Pada 17 hingga 19 April 2008, Kelab Rekreasi dan Kadet Remaja Sekolah (KRS) SMK Kedawang telah mengadakan satu perkhemahan dan ekspedisi mendaki Gunung Raya. Kem ini disertai oleh 123 orang pelajar, 10 orang guru pembimbing, 8 orang jurulatih dari Jabatan Pertahanan Awam (JPA 3) Langkawi, 5 orang fasilitator dan 4 orang operator radio amatur Langkawi.
Perkhemahan ini telah berjaya memupuk semangat kerjasama, tolong menolong serta hormat menghormati diantara sesama peserta, jurulatih dan pembimbing. Peserta juga telah berjaya mengharungi cabaran alam seperti hujan lebat dan pacat serta serangga lain seperti kala jengking.

Perjalanan Aktiviti:
Aktiviti bermula pada jam 11.00 pagi 17 April dimana semua peserta berkumpul dan menaiki bas ke tapak perkhemahan. Setibanya ditapak perkhemahan, lebih kurang jam 12.00 tengahari, hujan telah turun dengan lebatnya. Hujan lebat berlarutan sehingga jam 2 petang dan aktiviti memasak tidak dapat dijalankan. Guru pembimbing terpaksa mengambil tugas dengan memasak secara beramai-ramai dan makan tengahari dicatu. Pelajar hanya dapat makan pada jam 5.00 petang. Peserta juga berpeluang menyaksikan satu fenomena alam di mana air sungai telah melimpah secara tiba-tiba dan menghanyut segala halangan. Sebentar kemudian, kolam takungan pula melimpah dan peserta terpaksa bertungkus lumus membina tembok bagi menghalang aliran air deras yang menghanyutkan khemah.
Pada jam 6.00 petang, pelajar mula membuat persediaan untuk makan malam. Pembahagian kumpulan telah dilakukan sejak awal lagi dan ini memudahkan perjalanan aktiviti. Selepas solat Maghrib dan Isya secara berjemaah, pelajar makan malam dan berkumpul untuk aktiviti malam. Pada malamnya, aktiviti ‘ice-breaking’ diadakan. Peserta berasa gembira dengan aktiviti yang dijalankan oleh fasilitator dan dihadiri bersama oleh Tuan Pengetua. Pelbagai idea yang menarik telah dikemukakan oleh peserta. Peserta tidur kira-kira jam 2.00 pagi.
Keesokkan harinya iaitu Jumaat 18 April, aktiviti bermula seawal jam 5.00 pagi dimana peserta dibangunkan dan menyediakan sarapan secara berkumpulan. Selepas solat subuh berjemaah, peserta menjalani latihan kawad dan senaman kecergasan. Pada kira-kira jam 9 pagi, pihka JPA 3 telah memulakan aktiviti ‘river-crossing’ dengan menggunakan teknik ‘commando crossing’.
Aktiviti ini sangat mencabar minda dan fizikal peserta kerana mereka harus berani menyeberangi sungai menggunakan tali yang diikat setinggi kira-kira 7 meter dari sungai. Terdapat juga peserta yang gagal menyeberangi aktiviti tersebut.
Pada tengahari, satu pertandingan memasak telah diadakan. Disini terserlah kepelbagaian idea dari para peserta dengan menu masakan yang beraneka jenis. Pegawai dari JPA 3 iaitu Kopral JPA3 Rahmah telah diberi peluang untuk menghakimi pertandingan tersebut. Pada sebelah petangnya pula pihak JPA 3 sekali lagi membantu dengan mengadakan latihan pertolongan cemas. Antara teknik yang dipelajari ialah CPR dan balutan dan rawatan kepatahan. Peserta juga diberi peluang untuk mencuba sendiri dan melakukan rawatan seperti yang ditunjukkan oleh jurulatih. Walaupun keletihan, namun peserta tetap menunjukkan semangat tinggi untuk belajar.
Disebelah malamnya, peserta diberikan taklimat keselamatan mendaki oleh guru pembimbing, Cikgu Zubair. Beliau menegaskan perkara-perkara yang boleh dan dilarang semasa melakukan pendakian. Selepas itu permainan malam diadakan. Peserta dibenarkan tidur kira-kira jam 11.00 malam.
19 April jam 4.00 pagi peserta bangun dan bersedia untuk mendaki. Selepas solat subuh dan sarapan pagi, jam 7.30 pagi, Cikgu Suhaimi mengadakan senaman kecergasan. Tepat jam 8.00 pagi, pendakian dimulakan dengan didahului oleh Cikgu Kang. Pendakian berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan peserta pertama tiba di puncak Gunung Raya pada jam 10.10 pagi iaitu kira-kira 2 jam 10 minit selepas bermula. Walaupun “diserang” dengan pacat, peserta tetap bersemangat meneruskan pendakian. Namun begitu 6 orang peserta terpaksa menarik diri dari pendakian setelah mendaki kira-kira 1000 anak tangga. Pelbagai jenis flora dan fauna ditemui semasa diperjalanan dan peserta telah diingatkan supaya tidak mengganggu mana-mana hidupan yang ditemui.
Selepas berehat kira-kira satu jam, peserta bertolak turun semula. Agak malang kerana seorang peserta mengalami kekejangan otot pada anak tangga yang ke 3000. Peserta ini terpaksa dipikul secara bergilir-gilir oleh guru pengiring. Alhamdulillah, semangat kerjasama dan tolong menolong dengan konsep “berat sama dipikul, dan ringan sama dijinjing” yang diterapkan, perserta ini berjaya di bawa sehingga ke kem utama.
Semua peserta berjaya tiba di kem utama pada jam 12.30 tengahari dan selepas makan, membersihkan diri dan bersolat, peserta bersedia untuk pulang ke sekolah. Peserta bertolak pulang pada jam 3.30 petang dan bersurai pada jam 5.00 petang.

Kekuatan:
Semangat tolong-menolong dan bertanggungjawab telah berjaya dipupuk dikalangan peserta. Walaupun mengalami kesukaran seperti hujan lebat dan keletihan akibat aktiviti, peserta tetap menunaikan tanggungjawab mereka sebagai Muslim dan berjaya mengatasi segala rintangan.
Sokongan dari guru-guru serta waris dan terutamanya Tuan Pengetua sendiri telah menaikkan semangat para peserta untuk terus menghadapi cabaran-cabaran semasa perkhemahan ini.

Kekurangan:
Kurangnya latihan kecergasan dikalangan peserta menyebabkan beberapa peserta mengalami kekejangan otot tetapi hanya seorang yang agak serius. Hujan lebat juga menghalang beberapa aktiviti lain untuk diteruskan. Disamping itu, bilangan khemah serta lampu juga perlu ditambah bagi mengimbangi jumlah peserta.
Disiplin pelajar amat dititikberatkan. Namun begitu terdapat juga beberapa orang peserta yang engkar dan salah seorangnya telah dihantar pulang kerana tidak dapat mengikuti arahan.
Peralatan seperti bilangan khemah juga perlu ditambah bagi menampung bilangan peserta yang bertambah bagi setiap kali aktiviti diadakan.
Penutup:
Perkhemahan ini telah berjaya membentuk sekumpulan pelajar yang lasak, bertanggungjawab dan saling bantu membantu dalam menghadapi cabaran hidup. Ia juga berjaya melahirkan modal insan cemerlang. Adalah diharapkan program seumpama ini akan diadakan lagi dimasa-masa akan datang sebagai sebahagian dari proses Pengajaran & Pembelajaran murid disekolah.

Penghargaan:
Ahli Jawatankuasa Pengelola Perkhemahan Bersama Kelab Rekreasi dan Kadet Remaja Sekolah (KRS) mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan perkhemahan ini:

1. Tn. Haji Marzuki bin Haji Daud, Pengetua, SMK Kedawang
2. Encik Azmi bin Hussin, Penolong Kanan Ko-Kurikulum, SMK Kedawang
3. Pn. Sharifah Suharny bt Syed Sheh, Penolong Kanan HEM, SMK Kedawang
4. En. Jasman Simebak, Unit PJK, SMK Kedawang
5. En. Amer Ramli, Unit PJK SMK Kedawang
6. En. Shuhaimi Saad, Unit PJK, SMK Kedawang
7. Pn Shureeza Faris Abd Shukur, SMK Kedawang
8. Pn Asma Saad, SMK Kedawang
9. En Zakaria Jayus, KRS SMK Kedawang
10. En Wan Shahril, Radio Amatur Langkawi
11. Cik Amira Razak, Radio Amatur Langkawi
12. En Hazami, Radio Amatur Langkawi
13. Fasilitator-fasilitator
14. Jabatan Parit dan Saliran, Langkawi
15. Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Langkawi
16. Semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini. 

No comments: